Mazhab yang diwujudkan oleh Imam Hanbali dan paling akhir muncul ialah Mazhab Hanbali. Mazhab ini berpegang pada hadis Nabi Muhammad s.a.w. dan tradisi para sahabat. Pengkaji menganggap mazhab ini merupakan pembentukan paling nyata daripada mazhab para sahabat kerana Hanbali menumpukan sepenuh perhatiannya kepada fatwa para sahabat. Kemunculan mazhab Hanbali merupakan reaksi terhadap sikap yang keterlaluan daripada beberapa aliran Islam seperti Syiah, Khawarij, Muktazilah, Qadariyah dan Murji’ah. Golongan Muktazilah misalnya menganggap bahawa al-Quran ialah makhluk atau ciptaan Tuhan. Berbeza daripada Imam Syafie yang melakukan ijtihad dengan menggabungkan hadis dan sikap rasional, Imam Hanbali sebaliknya menentang ijtihad dengan berpegang teguh pada hadis dan fatwa para sahabat.
IMAM HAMBALI
Salah seorang daripada empat imam mazhab yang terkenal di dunia ialah Imam Hanbali. Nama penuhnya Ahmad bin Muhammad bin Hanbal. Setelah menjadi ulama besar, beliau dikenali dengan nama Imam Hanbali. Beliau dilahirkan di Salam, Baghdad pada 164 H dan meninggal dunia pada 214 H. ketika usianya masih agak muda, beliau sudah menhafal al-Quran. Beliau menumpukan sepenuh perhatiannya kepada ilmu pengetahuan. Beliau tekun belajar hadis, bahasa dan pentadbiran.
Di samping itu, beliau juga menumpukan sepenuh perhatian kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. sehinggakan beliau pergi melawat ke pelbagai kota untuk mendapatkan hadis seperti ke Hijaz, Kufah dan Basrah. Atas usahanya itu, akhirnya beliau dapat menghimpunkan ribuan hadis yang dimuatkan dalam karyanya: Musnad Ahmad ibnu Hanbal.
MUSNAD AHMAD IBN HANBAL
Salah satu karya Imam Hanbali yang paling terkenal ialah Musnad Ahmad ibnu Hanbal. Kitab itu menghimpunkan 40 000 hadis yang dipilih daripada kira-kira 700 000 yang dihafalnya. Namun Imam Abdul Aziz al-Khuli (seorang ulama yang menulis banyak biografi tokoh sahabat dan tabiin) berpendapat bahawa ada 10 000 hadis yang diulang dalam kitab itu.
Jadi menurutnya kitab itu hanya mengandungi 30 000 hadis sahaja. Sebahagian besar ulama menganggap hadis dalam kitab itu sahih, tetapi ada juga ulama yang menyatakan beberapa hadis dalam kitab itu lemah. Di samping Musnad Ahmad ibnu Hanbal, Imam Hanbali juga menghasilkan karya lain, antaranya Tafsir al-Quran dan Kitab an-Nasikh wa al-Mansukh (Kitab mengenai Ayat yang Menghapuskan dan Dihapuskan Hukumnya).
MENIMBA ILMU
Imam Hanbali banyak menimba ilmu daripada beberapa ulama dan para fuqaha besar seperti Abu Yusuf (seorang hakim dan murid Abu Hanifah) dan Hisyam bin Basir bin Abi Kasim (m.d. 183 H, ulama hadis di Baghdad). Abu Yusuf mengajar Imam Hanbali ilmu fikah, manakala Hisyam bin Basyir bin Abi Kasim mengajar hadis. Ketika Imam Hanbali belajar daripada Imam Syafie, beliau mengikutinya sehingga ke Baghdad.
Pada suatu masa seseorang menegurnya. “Anda telah sampai ke tahap mujtahid dan sudah layak menjadi imam. Mengapa masi menuntut ilmu? Apakah anda akan membawa dakwat ke kubur?” Imam Hanbali pun menjawab, “Saya akan menuntut ilmu sehinggalah saya masuk ke liang kubur.”
KEUTAMAAN HADIS
Imam Hanbali menumpukan sepenuh perhatiannya kepada hadis. Oleh sebab itu banyak ulama, seperti Ibnu Nadim, Ibnu Abd al-Bar, al-Tabari dan Ibnu Qutaibah, menggolongkan Imam Hanbali ke dalam golongan ahli hadis dan bukannya golongan mujtahid. Justeru inilah sebenarnya ciri Mazhab Hanbali. Mazhab ini selalu berpegang kuat pada teks hadis dan membataskan penggunaan qiyas dan akal.
LIMA DASAR PANDUAN UTAMA
Mazhab Hanbali didukung oleh lima dasar panduan utama. Pertama ialah al-Quran dan hadis. Jika dengan menggunakan kedua-duanya masih tidak mendapat jawapan, maka beliau melakukan langkah kedua, iaitu merujuk kepada fatwa sahabat yang diketahui tidak ada yang menentangnya. Ketiga ialah menggunakan pendapat sahabat yang lebih sesuai dengan al-Quran dan sunah Nabi Muhammad s.a.w. JIka masih tidak dapat jawapannya, maka beliau melakukan langkah keempat, iaitu menggunakan hadis mursal (hadis yang tidak menyebut nama sahabat yang meriwayatkannya) dan daif (lemah). Terakhir, apabila beliau masih tidak mendapat penjelasan daripada kedua-dua hadis itu, beliau menggunakan kaedah kias. Namun kaedah ini hanya dilakukan dalam keadaan darurat.
PENENTANG TERHADAP MUKTAZILAH
Imam Hanbali hidup pada zaman kerajaan Abbasiyah. Pada masa itu, aliran Muktazilah merupakan mazhab rasmi negara pada zaman pemerintahan al-Ma’mum, al-Mu’tasim dan al-Wasiq. Sebahagian ulama dan fuqaha yang tidak suka dengan aliran ini berusaha memajukan bidang hadis. Oleh itu, ilmu ini menjadi lebih besar tersebar kepada masyarakat. Dalam hal ini, Imam Hanbali tampil di barisan paling depan. Beliau menentang Muktazilah dengan memperkukuh kekuatan para ulama hadis.
Imam Hanbali juga mengecam khalifah al-Ma’mum kerana baginda mendukung aliran Muktazilah. Disebabkan sikapnya yang tegas dalam menentang Muktazilah, Imam Hanbali menghadapi banyak dugaan. Beliau dipenjara dan disebat hingga pengsan. Malah badannya juga ditoreh dengan pedang. Akan tetapi dugaan yang dihadapinya itu tidak sedikitpun menggoyahkan prinsipnya.
FEQH AL-SUNNAH
Mazhab Hanbali terkenal kerana kuat berpegang pada al-Quran, sunnah Rasulullah s.a.w. dan fatwa sahabat, sehingga ada yang menyebutnya sebagai feqh al-sunnah (feqh al-sunnah). Keteguhan Mazhab Hanbali berpegang pada sunnah Nabi Muhammad s.a.w. didasarkan pada hadis Nabi Muhammad s.a.w. “Barang siapa yang mengamalkan suatu amalan yang bukannya daripada kami, maka amalan itu ditolak” (H.R. Ahmad bin Hanbal dan Muslim).
ULASAN AJARAN MAZHAB HANBALI
Ajaran Mazhab Hanbali banyak diulas dalam kitab lain. Karya terbesar yang memuatkan ajaran Mazhab Hanbali ialah kitab al-Jami’ al-Kabir. Kitab yang disusun oleh Ahmad bin Muhammad al-Khalal (m.d 311 H) ini merupakan koleksinya setelah beberapa tahun melakukan perjalanan ilmiah menemui murid-murid Imam Hanbali. Kitab standard yang lain ialah al-Mukhtasar, yang terkenal dengan judul Mukhtasar al-Khiraqi, karya Abu Qasim Umar bin Husain al-Hanbali (m.d. 334 H). kitab ini diulas dengan baik oleh ibnu Qudamah dalam bukunya al-Mughni.
PENYEBARAN MAZHAB
Pada awalnya Mazhab Hanbali hanya berkembang di Baghdad. Banyak ulama besar seperti al-Atsram abu Bakar Ahmad bin Hani (m.d. 273 H), Ahmad bin Muhammad bin Hajjaj al-Marmawi (m.d. 275 H, penulis kitab al-Sunnah) dan Qasim Umar bin Abu Ali al-Khiraqi (m.d. 334 H) berjuang menyebarluaskan Mazhab Hanbali. Sehingga abad ke-4 H, mazhab ini masih belum dapat melampaui perbatasan Iraq. Pada akhir abad ke-6 H, Mazhab Hanbali berkembang di Mesir.
Perkembangan pesat terjadi pada abad ke-11 dan ke-12 H kerana usaha Ibnu Taimiyah (m.d. 728 H) dan Ibnu Qayyim (m.d. 751 H) yang membuka mata banyak orang untuk menaruh minat dalam fikah Imam Hanbali, khususnya dalam bidang muamalah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab (m.d. 1206 H) juga berjasa kerana menjadikan Mazhab Hanbali sebagai mazhab rasmi penduduk Arab Saudi, terutamanya semasa pemerintahan Raja Abdul Aziz Ibnu Sa’ud.
