SYIAH - SUNNI  BERKONFLIK ZAMAN BERZAMAN

SYIAH - SUNNI BERKONFLIK ZAMAN BERZAMAN

Satu kenyataan yang tidak boleh dinafi bahawa perselisihan dan perbezaan pendapat terhadap kefahaman keagamaan telah mengakibatkan munculnya puak dan konflik sosial-keagamaan di tengah-tengah masyarakat Islam. Perselisihan dan perbezaan ini akan terus mendatangkan perpecahan dan permusuhan antara mereka. Demikianlah perselisihan antara puak Sunni dan Syiah yang kebanyakan orang menganggap ia suatu yang sah dan dibenarkan.

Sebenarnya sejarah memperlihatkan bahawa interaksi Sunni-Syiah sentiasa dipenuhi konflik dan peperangan yang berpanjangan. Kalau ada pun dialog, ia hanya bersifat sementara dan pinggiran. Jika situasi politik berubah, akan berubah pula sikap untuk berdialog yang cuba dipraktikkan itu. Sejarah mencatatkan, terbentuknya golongan Syiah adalah hasil daripada tragedi berdarah antara Ali dan Muawiyah. Pembunuhan ke atas Ali, Hussin dan Hasan yang menurut catatan sejarawan didakwa mati diracun oleh Muawiyah.

Golongan Syiah akhirnya menjadi kelompok keagamaan dengan visi politik yang kental. Jika majoriti kaum Muslim yang bukan pengikut politik Ali dianggap sebagai perwakilan kaum Sunni, maka sejarah interaksi Sunni-Syiah adalah sejarah konflik sejak peristiwa pembunuhan Ali oleh golongan Khawarij. Sejarah Syiah banyak dipenuhi oleh kisah penindasan.

Bermula dengan penindasan penguasa Bani Ummayah ke atas Hassan bin Ali bin Abi Talib (3H/625M - 49H/669M) yang dianggap imam kedua bagi puak Syiah. Hassan dipaksa menyerahkan kekhalifahannya kepada Yazid, putera kepada Muawiyah. Manakala Hussein adiknya, yang menjadi imam ketiga juga akhirnya menjadi korban pembunuhan di Karbala oleh Yazid. Ali Zainal Abidin bin Hussein, imam keempat adalah satu-satunya anggota keluarga laki-laki Hussein yang selamat dan terpaksa mengambil jalan damai yang lebih selamat.

Pada masa imam keenam, Jaafar as-Sadiq, barulah tekanan daripada pihak pemerintah Ummayyah berkurangan. Ini memberi kesempatan untuk mereka meluaskan pengaruh dan melakukan kegiatan mereka. Penindasan atas orang Syiah berlanjutan pada awal kekuasaan Bani Abbas. Pada masa kekuasaan Abbasiyah, orang Syiah juga ditindas sama ketika berada dalam kekuasaan Bani Umayyah dulu.

Setelah mendapat kesempatan untuk memantapkan orientasi fikih melalui imam keenam, Syiah sekali lagi mendapat kesempatan untuk mengembangkan gagasannya di bidang teologi (kalam). Entah kerana yakin pada imamah Ali atau kerana alasan politik al-Mamun (khalifah Abbasiyah) yang merupakan pendukung Muktazilah memberikan kedudukan mulia kepada ar-Rida, pemimpin Syiah ketika itu. Kenyataan ini memungkinkan ar-Rida mengembangkan ajarannya, terutama di bidang teologi. Salah satu sebab hubungan baik al-Mamun dengan Syiah yang dipimpin oleh ar-Rida pada masa itu adalah persoalan kalam. Dalam beberapa persoalan kalam, penjelasan kaum Syiah mirip dengan teologi Muktazilah.

Namun keadaan ini tidak berlangsung lama, kerana setelah ar-Rida wafat, sejarah Syiah kembali diwarnai dengan penindasan, yang mencapai puncaknya sejak masa pemerintahan Khalifah al-Mutawakkil (867M -861M) hingga masa imam kedua belas, Muhammad al-Muntazar (juga disebut Muhammad al-Mahdi). Menurut pandangan Syiah, imam dua belas (Isna Asyariyyah, juga dikenal sebagai Syiah Imamiah khususnya dalam bidang fikih Jafariah) al-Mahdi menjadi ghaib (menurut versi lain wafat pada 878) dan selalu ditunggu kemunculannya (asal sebutannya, al-Muntazar yang ditunggu).

Setelah itu, penegakkan kekuasaan Syiah di berbagai wilayah terus dilakukan, misalnya pemberontakan Idrisiah di Afrika Utara di bahagian barat (sekarang Morocco) pada tahun 788M dan pemberontakan Syiah di Hedjaz, Yaman, dan di Iraq, dalam waktu yang hampir bersamaan. Pada tahun 880M - 980M barulah kaum Syiah benar-benar dapat menegakkan pemerintahan yang kuat dengan berdirinya Dinasti Buwaihi (945M) di Baghdad dan Fatimiah (966M) di Kaherah. Pada masa ini, sebahagian besar wilayah dunia Islam berada di bawah kekuasaan dinasti Syiah.

Namun arus sejarah kembali berbalik ketika orang Turki, penganut fanatik Mazhab Sunni-Hanafi, merebut kekuasaan. Orang Turki berhasil menegakkan Dinasti Ghaznawi (1030M) dan Dinasti Seljuk (1055M). Setelah berhasil menakluk Dinasti Gaznawi, Dinasti Seljuk juga berhasil menaklukkan Dinasti Buwaihi serta menguasai Iraq dan sebahagian besar Iran. Kemunculan Dinasti Seljuk ini memberikan pukulan yang amat keras terhadap kaum Syiah pada masa itu.

Kebangkitan Dinasti Abbasiyah bersamaan dengan hancurnya Dinasti Syiah Fatimiah di Mesir (1170M) telah membawa pengaruh Syiah mulai kembali berkembang di istana Abbasiyah. Beberapa menteri diketahui sebagai penganut aliran Syiah. Setelah itu, di beberapa tempat di antara Karbala dan Najaf serta di Mosul (Iraq) dan di Suriah berkembang beberapa kerajaan kecil yang beraliran Syiah.

Interaksi saling ambil alih kuasa antara Syiah dan Sunni, dalam beberapa hal sesungguhnya memungkinkan masing-masing pihak saling mempengaruhi, termasuk pandangan teologis kedua-dua belah pihak. Tetapi, hasil terpenting adalah adanya pendekatan pandangan kedua-dua pihak ke dalam disiplin tasawuf. Hal ini juga yang kelak menjadi jambatan pendekatan lebih jauh kedua-dua golongan tersebut.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

033363
Hari ini: 60
Minggu Ini: 594
Bulan Ini: 9,293
Tahun Ini: 33,363
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.