SAMBUTAN MAULIDURRASUL yang diadakan julung kalinya secara besar-besaran oleh Tok Selehor sebenarnya telah dilakukan oleh para ulama terdahulu sama ada di dunia Arab mahupun dunia Melayu sejak zaman berzaman. Ulama terdahulu meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w dengan pelbagai aktiviti sama ada melalui bacaan Barzanji, Burdah dan sebagainya.
Barzanji adalah satu bentuk seni suara Islam yang mengandungi bacaan yang dikaitkan dengan peribadi dan sejarah hidup Rasulullah SAW yang dimulai dengan bacaan surah al-Fatihah, puji-pujian terhadap Nabi, selawat dan diakhiri dengan doa. Barzanji bukanlah nama sebenar bacaan tersebut, tetapi ia adalah sandaran kepada nama pengarangnya iaitu Syeikh Jaafar al-Barzanji yang berasal dari Madinah. Beliau merupakan seorang ulama, khatib di Masjid Nabawi, sasterawan dan penyair pada zamannya telah menghasilkan himpunan kisah kelahiran dan riwayat hidup Rasulullah SAW secara bernazam bagi menanamkan perasaan cinta kepada Nabi Muhammad SAW dan disampaikan dalam bentuk gaya suara dan irama tertentu.
Maulidur Rasul tidak pernah disambut oleh Rasulullah SAW walaupun sekali. Begitu juga para sahabat, tidakpernah menyambut hari kelahiran Rasulullah sewaktu hayat Baginda. Malah sahabat-sahabat sendiri pada zaman itu tidak pernah menyambut hari kelahiran mereka. Hal ini kerana sambutan itu belum menjadi budaya mereka pada waktu itu.
Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka menyambut hari kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka. Mereka juga tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana setiap hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu. Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah, sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka. Tetapi pada zaman tabiin, umat Islam sudah berselerakan ke seluruh dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Makkah dan Madinah.
Tidak dinafikan, sebahagian mereka (umat Islam zaman mutaakhir) telah mula lupa sejarah dan roh perjuangan Rasulullah SAW. Mujurlah ulama masih ada lalu mengambil inisiatif untuk membimbing orang ramai ke jalan benar. Di celah-celah itu lahirlah sebuah karya yang diberi nama al-Barzanji nukilan Syeikh Jaafar al-Barzanji. Di dalamnya mengandungi kisah Rasulullah SAW semasa kelahiran sehingga wafatnya. Kemudian kisah itu dibacakan kepada orang ramai yang dipersembahkan dengan cara yang menarik bagi membangkitkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya. Namun untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam jumlah yang lebih ramai, maka diadakan majlis itu pada hari kelahiran Rasulullah SAW.
Di sinilah bermulanya sambutan Maulidur Rasul dalam sejarah Islam. Hari itu dipilih bukan semata-mata untuk sambutan hari lahir, tetapi satu taktik untuk mengumpul orang bagi memperdengarkan kisah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan. Semoga umat boleh kembali kepada ajaran Rasulullah seperti zaman sahabat dahulu. Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan, tetapi lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.
Upacara mauliddin Nabi SAW yang disertai dengan perarakan baru sahaja dilakukan oleh Negara kita setelah merdeka (1957), sedangkan cara itu telah dilakukan oleh Tok Selehor semasa beliau masih hidup sekitar 1920an lagi. Inilah suatu tranformasi berani dilakukan oleh Tok Selehor sebagai menduplikasi sejarah sambutan para kaum ansar dan muhajirin di Madinah ketika mereka berarak menyambut kedatangan Rasulallah SAW pada hari pertama sampainya beliau SAW menjejaki kami di tanah Madinah. Walaupun hari itu bukan hari kelahiran baginda SAW, tetapi atas dasar terlalu gembira dengan kedatangan Rasulallah SAW, mereka keluar daripada rumah dan berkumpul beramai-ramai menyambut beliau SAW.
Namun tranformasi Maulid yang dilakukan Tok Selehor sedikit berbeza daripada guru dan sahabatnya yang mana beliau membawa pendekatan dengan memberi cara kefahaman kepada masyarakat tentang keharusan sambutan Maulidurrasul dengan cara serentak mengadakan perarakan dan bacaan Barzanji.
Pendekatan berbeza yang dibawa oleh Tok Selehor tersebut telah menjadikan beliau ulama Kelantan yang pertama mengadakan majlis sambutan Maulidurrasul secara besar-besaran dengan upacara tersendiri. Dalam majlis tersebut, Tok Selehor membacakan Barzanji dengan penuh perasaan (dengan alunan suaranya yang merdu) dan mengadakan perarakan secara besar-besaran bagi menanam rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat.
Cara sambutan Maulidurrasul sedemikian pada mulanya telah mendapat kritikan daripada akhbar-akhbar tempatan. Namun, Tok Selehor tetap meneruskan perarakan dan bacaan Barzanji, kerana mengikut pertimbangan dengan ilmu, beliau yakin ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Hasilnya ribuan manusia menyertai majlis tersebut yang bukan sahaja datang dari sekitar Kelantan, malahan ada yang datang dari luar Kelantan.
Walaupun beliau difitnah dan dituduh pembawa bidah kerana mengadakan upacara sambutan mauidurrasul disertakan dengan perarakan beramai-ramai dengan murid-muridnya dan disertai bersama penduduk kampung serta para pengunjung daripada luar daerah sehingga majlis tersebut ibarat suatu pesta, namun kerana cinta beliau kepada Nabi Muhammad SAW, dan untuk menerapkan pengajaran kisah Rasulallah SAW yang dibaca dalam kitab Berzanji dan nazam, Tok Selehor ketepikan segala komen-komen negatif sesetengah golongan sehingga diviral dalam media ketika itu. Beliau teruskan juga kerana apa yang dilakukannya ada sandaran dalam syariat yang dipelajari daripada ulama-ulama besar di Patani dan di Makkah. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan daripada membiarkan hari-hari berlalu dengan kelekaan duniawi.
