Dahulu umat Islam adalah umat yang satu dan bersatu. Mereka adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan di bumi ini. Mereka telah membentuk tamadun yang tiada tolak bandingnya. Namun kesemua ini tinggal kenangan dan sejarah tidak boleh memberi sesuatu kepada manusia. Umat Islam hari ini telah kehilangan kesatuan dan kerjasama. Kita bukan lagi pembagun atau pembela peradaban kerana kita menghadapi masalah kumunduran dari segala aspek ekonomi mahupun keilmuan.
Kelemahan inilah yang kadang-kadang menjadikan umat Islam itu sendiri tidak mampu untuk menjelaskan hakikat sebenar ajaran Islam sebagai satu agama perdamaian, toleransi bukan agama ganas dan kejam. Di samping juga agama yang mementingkan pembangunan fizikal dengan tidak mengabaikan pembangunan spiritual.
Tuduhan agama Islam sebagai agama ganas dengan melabelkan tindakan permusuhan sebagai pendirian agama adalah satu percanggahan yang tidak boleh diterima sama sekali. Bagaimana mungkin sesebuah agama yang menggalakkan persaudaraan dan tolong menolong, dikatakan agama yang menyeru pula ke arah permusuhan dan pergaduhan.
Setiap manusia beranggapan bahawa penentangannya terhadap orang lain adalah bertujuan memelihara nilai dan maruah diri, atau ianya bersifat mempertahankan diri dari serngan orang lain. Apabila kita menghayati konsep tersebut, kita akan dapati bahawa perkara utama daripada pertelingkahan itu adalah untuk menyelesaikan kemelut kezaliman yang akan lahir daripada serangan musuh.
Islam sering dituduh dan dipertanggungjawabkan dengan tindakan ganas sesetengah daripada penganutnya. Andai diturunkan kaedah tesebut, nescaya semua agama akan terlibat dengan pertuduhan itu kerana semua penganutnya pernah terlibat dengan tindakan ganas. Oleh itu agama haruslah dinilai daripada ajaran dan rukun- rukun asas, tidaklah hanya kepada tindakan sesetengah penganutnya yang sentiasa melakukan kesilapan.
Adalah penting untuk melihat kepada sebab-sebab yang mendorong sesetengah pihak cenderung untuk memilih keganasan. Kajian itu tidak bermakna mengiktiraf kesilapan mereka, tetapi boleh menunjukkan kepada kita hakikat sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemarahan mereka sama ada yang berbentuk perbuatan ataupun perkataan. Sekurang- kurangnya ia boleh membantu mengurangkan perbalahan antara sesama manusia dengan menjadikan agama sebagai faktor yang berperanan mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dunia.
Islam meletakkan batasan untuk tidak membunuh kecuali kepada orang yang memerangi mereka terlebih dahulu. Al-Quran menjelaskan dalam satu firman Allah bermaksud:
Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda- kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, dan musuhmu….(Al- Anfal : 60)
Menakuti atau menggentarkan di sini bermaksud peperangan yang ditujukan hanya kepada musuh-musuh Allah dan musuh- musuh umat Islam. Dari segi realitnya apakah yang telah di lakukan oleh badan dunia seperti Bangsa-bangsa Bersatu dalam memelihara rakyat Palestin yang sentiasa dihalau, disembelih, dijajah tanah air, dimusnah ladang-ladang dan diruntuhkan rumah-rumah mereka. Semuanya ini dilakukan oleh golongan Yahudi zionis dengan bantuan Amerika tanpa batas dan seluruh dunia mengetahui dan menyaksikannya.
Apakah yang telah dikatakan oleh badan dunia seperti Bangsa-bangsa Bersatu mengenai kewujudan tentera Amerika di Afghanistan dan di Iraq, yang seluruh dunia menyaksikannya sebagai suatu penjajahan, keganasan, rampasan, pemusnahan, pembunuhan dan pembakaran.
Badan dunia iti tidak melakukan sesuatu pun, bahkan Amerikalah yang memerintah dan Amerikalah yang melaksanakan rancangan keganasannya ke atas para pejuang yang mempertahankan hak-hak mereka daripada serangan para penceroboh zalim yang berterusan itu.
Jelas sekali bahawa kekerasan dan keganasan bukanlah merupakan fenomena Islam. Kita melihat bahawa tindakan kekerasan berlaku di seluruh Dunia di mana umat Islam menjadi penduduk minoriti ditindas seperti di India, Cina, Thailand, Burma, Filipina, Rusia dan Amerika. Mengapa dalam isu keganasan hanya orang-orang Islam sahaja yang di labelkan sebagai ganas dan kejam.
Sejarah Amerika di penuhi dengan berbagai-bagai jenayah dan musibah. Sejarahlah yang menjadi sebaik-baik saksi tentang apa yang berlaku di Hiroshima, Palestin, Afghanistan, Iraq dan lain-lain. Semua ini adalah bukti kepada keganasan Amerika yang didokong oleh kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan. Siapakah yang akan menghukum pengganas ini? Undang-undang manakah yang boleh membawa mereka ke muka pengadilan? Pihak manakah yang boleh menjatuhkan hukuman ke atas segala jeneyah yang di lakukan oleh penjenayah ini?
Penggunaan perkataan pengganas di kalangan golongan yang zalim adalah semata-mata mengikut hawa nafsu mereka. Sedangkan keganasan yang sebenarnya tumbuh dikalangan mereka sendiri dan mereka sebagai pelopornya. Ini adalah seperti yang telah disebutkan di dalam lembaran sejarah.
Mereka yang pertama sekali yang telah melakukan perbuatan merampas kapal terbang, dan mereka juga yang mencipta sekatan-sekatan ke atas bangsa lain. Bukankah perbuatan menghalang orang lain daripada mendapatkan makanan itu suatu keganasan? Bukankah perbuatan menawan negara lain dan mencabuli itu suatu keganasan?
Bukankah perbuatan melepaskan tembakan terhadap orang ramai di negara dan rumah mereka sendiri suatu keganasan? Bukankah perbuatan meletakkan tentera di segenap jalan dan memeriksa orang ramai dengan kasar dan keras itu suatu keganasan? Bukankah perbuatan menguasai harta benda dan sumber kekayaan orang lain itu merupakan suatu keganasan? Bukankah perbuatan menyekat perkembangan ilmu dan peranan para Ulama dan saintis itu suatu keganasan? Sampai bilakah penindasan dan kezaliman ini akan berterusan dan sampai bilakah agama Islam akan terus menerus dilabelkan sebagai agama kejam dan ganas?
